Tuesday, October 9, 2007

Kembali..

Membaca coretan sahabat-sahabat di sini tentang Ramadhan yang bakal berlalu, hati terasa bertambah sayu..rindu yang teramat untuk menikmati dan merasai kemeriahan suasana yang jarang sekali dapat dinikmati pada bulan-bulan lain. Namun, sayunya hati ini masih belum mampu untuk meyakinkan diri, yang hati ini sudah cukup kuat..sudah berjaya untuk tenang dan tidak mudah sensitif dengan sebarang "trigger". Kerana hakikatnya, hati mudah tersentuh..lalu mata juga cepat sangat terasa 'panas'nya. Bimbang kekuatan yang cuba dibaja, akhirnya layu kembali. Bimbang ketenangan yang dirasai kini, diragut pergi saat fikiran mula terbang ke sana...

Buat masa ini, fokus fikiran cuba dialihkan sejauh mungkin dari membayangkan keadaan mereka..terutama sekali keadaan abah. Biarlah abah berehat dulu, tenang sementara abah kembali pulih..inshaAllah. Banyakkan berdoa dan meminta dari-Nya..moga Dia memberikan kesihatan yang baik dan memulihkan semula keadaan abah. Walaupun hati teramat berharap agar berkesempatan untuk berjumpa dengannya, namun jika telah menjadi ketentuan Ilahi yang salah seorang dari kami akan pergi dahulu (sihat bukan bermakna panjang umur kan?!)..saya berharap agar hati diberi cukup kekuatan untuk menghadapi saat perpisahan itu.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kesukaran hati ini dalam membuat keputusan..hati yang berbelah bagi untuk pulang menemui abah, bukanlah kerana tidak sayangkan abah. Cukup berat rasanya beban yang dirasai oleh hati kebelakangan ini..sehinggakan kadang-kadang terasa sesak dada, menahan desakan perasaan yang hebat. Namun, saya cuba meyakinkan diri ini agar tidak membuat keputusan menggunakan pertimbangan emosi. Allah menguji saya agar saya mampu menghadapinya dengan pertimbangan iman dan budi bicara akal fikiran. Nyatanya, terlalu banyak tanggungjawab-tanggungjawab lain yang harus difikirkan juga..tidak boleh dilepaskan begitu saja, kerana hidup ini sudah terlalu banyak 'berhutang' dengan manusia. Biarlah Allah saja yang memahaminya..kerana Dia jua yang Maha Mendengar dan Mengetahui. =)

Terasa amat cepat masa berlalu, Ramadhan akan pulang tidak lama lagi. Sedih mengenangkan diri yang tidak menggunakan masa yang telah berlalu dengan sebaik mungkin. Sedih dengan kekurangan dan kelemahan diri yang tidak mampu memanfaatkan setiap masa, kesempatan dan hadiah yang dibawa olehnya. Hari ini sudah 26 Ramadhan..sedikit masa lagi Syawal pula yang akan menjelang. Namun hati terasa seakan belum bersedia untuk melepaskannya pergi..kerana hati masih lagi keras, masih lagi belum berjaya dilembutkan, masih lagi perlukan tarbiyyah darinya, masih lagi ingin bermanja-manja dengannya...andai mampu dipinta, akan dipinta agar ia jangan pergi dulu. Namun setiap pertemuan itu pasti akan berakhir dengan perpisahan. Perpisahan yang harus ditangani dengan redha dan lapang dada.

Bercakap tentang perpisahan, 2 hari lepas sekali lagi perpisahan berlaku dalam hidup saya. Perpisahan dengan mereka yang saya rasa sangat bertuah dapat mengenali, dapat menikmati kebaikan yang diberi, dapat berkhidmat dan yang pasti telah ada rasa sayang yang bercambah di hati ini. Saya rasa sangat bersyukur kepada Allah atas nikmat ini, kerana dipertemukan dengan mereka berdua bukanlah suatu kebetulan. Allah yang merancang pertemuan ini, Allah yang telah mentaqdirkan saya untuk berkhidmat dan mencari rezeki di sana. Saya bersyukur kerana 'dijodohkan' dengan mereka yang baik hati, sentiasa mengambil berat, tidak berat sebelah malah sentiasa juga 'turun padang' untuk memberi pertolongan. Mereka yang sentiasa memberikan senyuman, sentiasa mencari kesempatan untuk menabur budi..menyebabkan kepenatan bekerja tidak terlalu dirasai, kerana hati rasa sangat puas dapat 'berbakti' dan dihargai. =)

Linangan airmata tak dapat ditahan saat pertemuan terakhir..mungkinkah airmata perpisahan, ataukah airmata saat menceritakan keadaan abah? Segalanya bercampur menjadi satu..sayu untuk meninggalkan tempat yang telah banyak berbakti buat diri ini. Sayu untuk mengucapkan selamat tinggal, sayu pada segala nikmat yang akan ditinggalkan. Moga segala yang telah berlalu akan terpahat kukuh di pautan memori..sebagai kenangan yang amat berharga buat hamba yang kerdil ini.

Alhamdulillah..hati seakan disedarkan dengan peristiwa yang sedang menguji diri buat masa ini. Betapa terlalu banyak nikmat yang Dia telah berikan pada saya..tak terhitung banyaknya. Namun, kelemahan iman sentiasa membesarkan 'musibah' yang sedikit berbanding nikmat yang seluas langit. Astaghfirullahal 'adzim. Moga Dia ampuni kelemahan hati ini jua kekufuran lantaran diri yang tidak tahu bersyukur. "Hati, kuatlah dan tabahlah..kerana Allah tidak suka kamu menjadi seorang yang lemah!" InshaAllah saya akan berusaha..

Bercakap tentang nikmat, ada satu perkara yang saya rasa terlalu berharga buat diri saya. Telah lama disedari kurniaan ini..cuma selama ini segalanya tersimpan hanya buat santapan hati. Kurniaan nikmat kasih sayang..bagi saya ia adalah suatu nikmat yang terlalu indah jika ingin dibandingkan dengan nikmat material yang lain. Alhamdulillah, saya dihadirkan ke dunia ini berteman..ditemani adik-beradik yang cukup membuahkan bahagia. Ada abang yang sentiasa berkorban, kakak yang sentiasa menyediakan sandaran..dan dua adik perempuan yang menghiburkan dan menceriakan. Namun saya tidak pernah merasa pengalaman mempunyai adik lelaki..tidak tahu apa perasaan untuk dipanggil dan dianggap sebagai 'kakak'. Kat sekolah dulu pun, cuma ada adik-adik perempuan..atau panggilan lainnya junior perempuan.

Memang fitrah manusia tidak akan berasa cukup dengan apa yang diberi, sentiasa saja inginkan lebih dari itu. Namun kerana Dia itu Maha Pengasih..tahun ini menyaksikan saya menjadi seorang kakak kepada adik-adik lelaki saya. Memang segala yang berlaku tidak pernah saya rancang, mahupun terlalu berharap untuk mengecapinya. Tambahan lagi diri ini bukanlah baik sangat, tidak layak pun untuk memegang title 'kakak' tersebut..kerana tanggungjawab itu bukanlah sedikit. Namun saya berusaha, walaupun lidah sentiasa kekok untuk membahasakan diri dengan panggilan yang sewajarnya..tapi alhamdulillah sedikit demi sedikit inshaAllah lama-lama nanti akan terbiasa..=) Saya rasa sangat2 gembira..seolah-olah satu titik kegembiraan dilekatkan di hati ini saat mereka memanggil saya sebagai 'kakak', kerana saya tidak pernah merasai pengalaman itu. Terasa sangat bahagia kerana dihargai dan diterima. Melihat kegembiraan mereka cukup menghadirkan keceriaan di hati..kadang-kadang diri mampu tersenyum hanya dengan melihat mereka..hehe. Adik-adik saya yang sangat comel..=D Walaupun umur mereka dah boleh dianggap umur dewasa, tapi saya still nak anggap mereka macam adik-adik yang masih kecik, macam kanak-kanak ribena..hehe. Terima kasih banyak-banyak kerana hadir, kerana menceriakan, kerana menerima, kerana sentiasa membantu, kerana menghormati, kerana menemani, dan terima kasih atas segalanya. Pada-Nya juga dipanjatkan segala kesyukuran di atas kurniaan ini..Dia tahu betapa bertuahnya rasa hati atas anugerah ini, kerana ia adalah suatu pengalaman yang sangat manis untuk dikenang.

Adik-adik saya yang perempuan pun saya sayang juga. Saya sayang banyak banyak banyak..=) Terima kasih atas segalanya, atas nikmat kasih sayang yang diberi..perhatian dan bantuan yang dihulurkan..moga Allah memberi yang terbaik buat semua adik saya. Agaknya mampu tak saya menghadapi perpisahan nanti ye? huhu..

Semoga ukhuwwah yang terbina semakin erat simpulannya..semoga nikmat kasih sayang dan persaudaraan yang dicambahkan di hati oleh-Nya mampu disyukuri..semoga segalanya akan tersimpan di lipatan hati sebagai kenangan yang amat bermakna.

Mohon juga agar Allah membentangkan jalan-Nya buat kita semua di hadapan..moga jalan itu sentiasa lurus, tidak bengkang-bengkok, tidak banyak halangan, dan senang untuk kita lalui. Namun, jika ianya tidak seperti yang kita harapkan..semoga hati-hati kita diberi kekuatan oleh-Nya, dikurniakan kesabaran dan kemanisan iman agar kita sentiasa mampu tersenyum, mampu tenang walau apa jua yang melanda..inshaAllah.

Hari esok tiada siapa yang mampu memberitahu apa yang bakal berlaku..kerana hakikatnya kita hanya mampu merancang, mengharap, dan mendoakan..tapi Dia jualah yang menentukan segala yang terbaik untuk kehidupan kita. Untuk segala kemungkinan yang kadang-kala kita cuba untuk elakkan tapi tetap jua akan berlaku..saya harap agar hati ini, juga hati mereka yang amat saya sayang..moga akan sentiasa tabah, sentiasa tenang, dan sentiasa redha. Allah menguji kerana Dia sayang..Allah menguji kerana Dia ingin kita kembali kepada-Nya..dan janji-Nya, setiap yang hidup pasti dan nyata akan mati. Setiap yang datang akan pergi...Moga mampu menerima setiap ketentuan dari-Nya sebagai didikan terbaik dari-Nya buat kita..inshaAllah. Hikmahnya..ujian ini ternyata lebih menyatukan hati-hati kita, lalu bersyukurlah =)

Akhir sekali, saya mendoakan agar Allah membantu usaha kita semua dalam mengejar Lailatul Qadr. Moga diberi kelembutan hati untuk sujud patuh pada-Nya, untuk mencari ampunan dan redha dari-Nya ke atas kita..semoga segala amal tidak sia-sia, dan diterima oleh Allah sebagai pertimbangan yang bakal melayakkan kita ke syurga-Nya..ameen.

Wassalam wa rahmatullah.

No comments: