Saturday, October 6, 2007

-Laman Kesihatan-

MENDAPAT serangan strok bukan bermakna kehidupan anda akan berakhir. Orang yang lumpuh akibat strok masih ada harapan untuk berjalan semula jika segera mendapatkan rawatan pemulihan.


Serangan strok tidak memilih mangsa. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), strok adalah punca kematian utama selepas penyakit kardiovaskular di dunia, sama ada di negara membangun atau maju, pada kadar 200 kes bagi setiap 100,000 penduduk.


Di Malaysia, kira-kira 60,000 kes dikesan, menjadikannya pembunuh nombor tiga selepas penyakit jantung dan kanser. Kadar kematian akibat strok sangat tinggi, iaitu kira-kira 10 peratus pesakit meninggal dunia dalam masa seminggu selepas serangan pertama.


Kadar kematian ini meningkat kepada 20 peratus dalam masa 30 hari, 30 peratus (dalam tempoh setahun) dan 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Peluang untuk pulih sentiasa ada jika pesakit mendapat rawatan segera.


Strok terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama ialah Ischemic, yang berlaku apabila aliran darah ke otak tersekat akibat kewujudan ketulan darah atau arteri menjadi terlalu sempit untuk membenarkan aliran darah ke otak, menyebabkan kerosakan pada otak. Jenis ini lebih lazim dan senang berlaku (jika ada risiko yang tertentu).
Strok Hemorrhagic pula berlaku apabila salur darah pada otak menjadi lemah dan pecah disebabkan tekanan darah tinggi atau saluran darah tidak normal. Biasanya strok menyerang mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun. Bagaimanapun, ada pesakit dalam lingkungan lebih muda turut mendapat strok, terutama yang menghidap kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung.


Simptom lazim

Antara simptom lazim serangan strok adalah rasa berdenyut-denyut, kebas, lemah, lumpuh separuh badan, hilang keupayaan mengimbangi badan, berjalan, bercakap, menelan atau pandangan menjadi kabur secara tiba-tiba. Ia boleh hilang dalam masa beberapa jam atau menjadi semakin teruk.


Jika berlaku kerosakan pada bahagian otak yang mengawal pertuturan, pesakit akan kehilangan kebolehan bertutur, mungkin tidak dapat memahami percakapan atau berinteraksi.


Jika serangan membabitkan bahagian otak yang mengawal kemahiran, pesakit lazimnya tidak mampu menggerakkan tangan, kaki atau lumpuh separuh badan. Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk melakukan rutin harian. Pada keadaan teruk, pesakit mungkin koma sepanjang hayat.


Bagaimanapun, kesan serangan strok berbeza bagi setiap individu, bergantung kepada bahagian dan luas kawasan otak yang terjejas. Serangan strok boleh berlaku berulang-kali sepanjang hayat pesakit. Pesakit perlu menjalani rawatan pemulihan secepat mungkin, setelah selesai menerima rawatan peringkat awal. Walaupun tidak mungkin pulih sepenuhnya, pemulihan maksimum mampu dicapai jika pesakit mendapatkan rawatan dalam tempoh enam bulan pertama selepas serangan.

No comments: