Thursday, October 25, 2007

Buat Diriku..

Diriku,
Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
Kau terlupa membaja taman hatimu sendiri,
Agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
Tersentuh dengan daulat-Nya
Merasa terpikul amanah ad-deen ini?
Bukan kerana kau berjemaah,
Namun kerana engkau di bawah perintah-Nya.

Diriku,
Seringkah kau mencari jalan,
Agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya,
Agar sentiasa sedar akan keagungan-Nya
Insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan & kesilapan dirimu??
Ketahuilah diriku,
Hatimu itu keras, khusyu’mu kurang
Syukur & redhamu tidak banyak kau hadiahkan pada-Nya
Terlalu banyak kurang & salahmu.

Diriku,
Tunaikanlah solatmu dalam khusyu’ & tenang
Muhasabahlah dirimu kala sunyi,
Selamilah kalam-kalam al-Quran yang kau perjuangkan
Padanya ada bekalan
Untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini

Diriku,
Pada nawafil & amalan sunat
Ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan tuhanmu
Pada qiamullail di keheningan malam
Bersama bisikan doa & munajatmu,
Diiringi esak airmata keinsafan & keikhlasanmu,
Kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaran-Nya
Di situ ada bekalnya
Lazimilah awal dirimu dengan al-Ma’thurat
Pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai da’ie.

Diriku,
Pada tawadhu’, pada ukhwah fillah, pada infaq fi sabilillah,
Pada uzlah muhasabah diri, pada zikir selawat,
Adalah ketenangan dan kekuatanmu.

Diriku,
Ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja
Yang bisa memberikan nafas kepada hati yang mati
Hati yang turut mati tidak mungkin menyembuhkan
Hati yang sakit apatah lagi menghidupkan hati yang mati..?

Diriku,
Amanahlah kau di hadapan manusia
Kerana kedaulatan Tuhanmu
Namun rasailah kekerdilan dirimu
Di hadapan kudrat dan iradat-Nya
PASAKKAN KEYAKINAN UNTUK SATU PERUBAHAN.


"Saidina Ali pernah berkata: Dunia hanyalah di tanganku..tetapi akhirat terletak di hatiku..."

~Aida_Balqis~

No comments: