Thursday, August 23, 2007

sedekah menyucikan harta..

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub menjawab, 'Ya benar, demi keagungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkatan-Mu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah:

1). Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2). Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3). Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

4). Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5). Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). InsyaAllah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6). Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita, ada hak mereka.

7). Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8). Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran surah Ali Imran ayat 92: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

9). Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia).

10). Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual-beli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad s.a.w. sendiri sebelum diutus menjadi Rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11). Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam satu hadith, Nabi s.a.w. menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)' Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, Nabi s.a.w. bersabda, takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabda baginda lagi, Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

12). Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyaAllah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.
"...Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah (ikhlas). Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya." (Surah al-Baqarah, ayat 272).
Hadis dari Abu Hurairah yang diriwayatkan Al-Bukhari bahawa seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Sedekah yang mana yang lebih utama itu?" Nabi s.a.w. bersabda, "Engkau bersedekah dalam keadaan senang (shahih) dan berkeinginan (harish)."
Dalam riwayat Ibnu Hibban dan Hakim dari 'Uqbah ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap orang bernaung di bawah perlindungan sedekahnya hingga ditetapkan hisab (perhitungan) di antara manusia di yaumil akhirat."




p/s: Allah tidak menghitung pada berapa banyak harta yang kita sedekahkan, tetapi Allah melihat pada sejauh mana keikhlasan kita saat kita berbelanja pada jalan-Nya. Duit 10 sen yang disedekahkan mungkin lebih berkat daripada wang beribu yang dikeluarkan, Allah lebih tahu. Dalam bulan Sya'ban yang mulia ini, serta Ramadhan yang bakal datang, semoga kita semua diberi kelapangan dan kesediaan hati untuk berbelanja sedikit kurniaan/harta yang dipinjamkan oleh-Nya pada jalan-jalan yang Dia redhai..AMEEN. InshaAllah rezeki itu datang dari-Nya jua, jika Dia ingin mengambilnya, bila-bila masa saja kita akan merasa kesempitan; tetapi jika Dia ingin menambah dan memperbanyakkan rezeki kita, alhamdulilllah semoga kita dapat menyalurkannya (walau sedikit) untuk mendapat keredhaan-Nya.
Wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

kene lancarkan kempen infa' lepas nih =)

Nur Hamizah said...

hehe..sila2 =)