Tuesday, August 21, 2007

ampun dan taubat..

Keampunan kepada orang berdosa adalah seperti air kepada ikan dan juga makanan kepada orang yang tak makan 3 hari. Manusia tidak dapat lari daripada kesalahan kerana mereka diciptakan dalam keadaan lemah. Sungguhpun demikian, Allah s.w.t. tidak mendatangkan kesukaran bagi sekalian manusia.

Firman Allah swt : "Allah mengkehendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagi kamu." (Al-Baqarah 2:185)

Allah yang Maha Pengampun berfirman lagi : "Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai sekalian orang-orang mukmin, semoga kamu mendapat kemenangan." (An-Nur 24:31)

Cuba kita renungi ayat di atas, Allah menjanjikan kemenangan kepada mereka yang bertaubat dan kita semua tahu yang sebenar-benar janji adalah janji Allah. Allah berfirman dalam At-Tahrim, ayat 8 : "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (66:8)

Kita sebagai manusia ini suka sangat kalau orang suka dan sayang kepada kita, apa lagi jika Allah yang Maha Tinggi suka kat kita yang lemah ni. Ana pernah came across hadith ni yang ada menyebut, "Jika Allah sayang kat kita, para malaikat pula akan memberitahu penghuni dunia dan penghuni dunia akan sayang kat kita."




Rasulullah s.a.w. bersabda : "sekalian anak Adam tidak sepi dari kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang lekas bertaubat."




"Dan mereka yang apabila telah melakukan perbuatan keji ataupun menganiayai dirinya, lalu mereka mengingati Allah dan memohon keampunan terhadap dosa-dosanya..." (Al-Imran 3:135).




Allah memuji sikap manusia ini kerana setelah menganiayai dirinya segera menyesali perbuatannya itu. Allahlah yang menciptakan manusia, sudah pasti Allah tahu akan kelemahan dan kemampuan manusia itu sendiri. Jika kita merenungi sabda Rasulullah s.a.w. dan ayat di bawah ini, kita akan rasa terharu dengan rahmat Allah.




Sabda Rasululllah s.a.w. : Orang yang bertaubat dari dosanya itu, samalah seperti orang yang tidak mempunyai dosa lagi.




Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas hingga merugikan diri sendiri, janganlah kamu berputus asa atas rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar 39:53).




Allah suka orang yang bertaubat kerana ia suatu bukti bahawa manusia itu tidak lalai akan dosanya dan setiap kali dia terkhilaf atau berdosa, dia segera menyesali dan lantas mendampingi Allah seraya merayu agar dosanya diampunkan. Bagi orang yang sentiasa menghisab diri dan bertaubat, sudah pasti mereka akan berusaha memperbaiki diri sehingga meningkat ketakwaannya.

Sesungguhnya Allah Azzawajalla itu membuka tangan selebar-lebarnya untuk menerima taubat orang yang bebuat jahat di waktu malam sehingga siangnya, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat di waktu siang sehingga malamnya. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (yakni Hari Qiamat).

Rasululllah s.a.w. sentiasa mengingatkan umatnya supaya merebut peluang bertaubat yang sentiasa terbuka luas, namun ia ada tempoh akhirnya, di mana rayuan dan rintihan manusia tidak dilayan lagi. Sabda Baginda s.a.w. : "Sesungguhnya Allah s.w.t akan menerima taubat hamba-Nya selama roh belum sampai ke ghar-gharah (hampir nazak)."

Alhamdulilllah - Tuhan dan Rabb kita sangat pengasih dan penyayang - sanggup memaafkan kita yang banyak berdosa dan daif ini.



Ana teringat kembali cerita seorang penceramah ni kat Malaysia Hall tahun lepas. Dia menceritakan bagaimana this person ini dok menangis-nangis memohon keampunan dari Allah s.w.t. atas dosanya berzina. Tapi InsyaAllah, Allah Maha Pengampun...




Allah s.w.t. juga berfirman : "Orang yang menjauhkan diri dari dosa besar dan perbuatan keji yang hanya (khilaf dalam) kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya. Dan Dia lebih mengetahui (keadaan)mu, ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu (masih) janin dalam rahim ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (An-Najm 53:32).




Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : " Iringilah perbuatan jahat itu dengan perbuatan yang baik, nescaya ia akan menghapuskannya."

Cukuplah setakat ini, cuma pesanan ana kepada semua terutamanya diri sendiri, rebut-rebutlah peluang keemasan bertaubat sebelum tibanya waktu pintu taubat kita tertutup. Ana akhiri dengan sebuah doa...

Telah datang seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah s.a.w., lalu berkata : Aduh dosaku! Aduh dosaku! Sehingga dua kali atau tiga kali. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya : Ucapkanlah olehmu: "Ya Allah, keampunan-Mu lebih luas daripada dosaku dan kasih sayang-Mu daripada amalanku." Maka doa itu diucapkan lagi oleh lelaki itu. Rasulullah s.a.w. pun bersabda lagi : Ulangi sekali lagi! Maka diucapkan lagi oleh lelaki itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Berdirilah! Sesungguhnya telah diampuni oleh Allah dosamu itu.
p/s : Allahumma ghfirlie warhamnie... Wassalam.

No comments: