Monday, February 19, 2007

La Tahdzan # 6~Berharaplah Akan Redha Allah Semata

Allah menciptakan para hamba-Nya agar selalu mengingat-Nya, dan Dia menganugerahkan rezeki kepada setiap makhluk ciptaan-Nya agar mereka bersyukur kepada-Nya. Namun, mereka justeru banyak yang menyembah selain Dia dan banyak pula yang bersyukur kepada selain Dia.

Tabiat untuk mengingkari, membangkang, dan meremehkan suatu kenikmatan adalah penyakit yang umum menimpa jiwa manusia. Kerana itu, anda tidak perlu hairan dan resah bila mendapati mereka mengingkari kebaikan yang pernah anda berikan, mencampakkan budi baik yang telah anda tunjukkan, serta melupakan bakti yang telah anda persembahkan. Bahkan, anda tidak usah resah bila mereka pun memusuhi anda dengan sangat keji dan membenci anda sampai mendarah daging, sebab semua itu mereka lakukan adalah justeru kerana anda berbuat baik kepada mereka.

...dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan Rasul-Nya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya...(At-Taubah: 74)

Cuba anda buka kembali catatan dunia tentang perjalanan hidup ini! Dalam salah satu babnya diceritakan: Seorang ayah telah memelihara anaknya dengan baik; ia memberinya makan, pakaian dan minum, mendidiknya hingga menjadi orang pandai, rela tidak tidur demi anaknya, rela untuk tidak makan asal anaknya kenyang, dan bahkan bersusah-payah agar anaknya bahagia. Namun sebaliknya, ketika sudah berkumis lebat dan kuat tulang-tulangnya, tiba-tiba ia menjadi seperti anjing liar, meremehkan jasa orang tuanya. Ia tidak hanya berani menghina, tetapi juga melecehkan, acuh tak acuh, bongkak, dan derhaka terhadap orang tuanya. Dan semua itu, ia tunjukkan dengan perkataan dan juga tindakan.

Kerana itu, siapa saja yang kebaikannya diabaikan dan dilecehkan oleh orang-orang yang menyalahi fitrahnya, sudah sayugianya menghadapi semua itu dengan kepala dingin. Dan, ketenangan seperti itu akan mendatangkan balasan pahala dari Dzat yang perbendaharaan-Nya tidak pernah habis dan sirna.

Ajakan ini bukan untuk menyuruh anda meninggalkan kebaikan yang telah anda lakukan selama ini, atau agar anda sama sekali tidak berbuat baik kepada orang lain. Ajakan ini hanya ingin agar anda tak goyah dan terpengaruh sedikit pun oleh kekejian dan pengingkaran mereka atas semua kebaikan yang telah anda perbuat. Dan janganlah anda bersedih dengan apa saja yang mereka perbuat.

Berbuatlah kebaikan hanya demi Allah semata, maka anda akan menguasai keadaan, tidak akan terusik oleh kebencian mereka, dan tidak akan merasa terancam oleh perlakuan keji mereka! Anda harus bersyukur kepada Allah kerana dapat berbuat baik ketika orang-orang di sekitar anda berbuat jahat. Dan, ketahuilah bahawa tangan di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah.

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih." (Al-Insan: 9)

Masih banyak orang beraqal yang sering hilang kawalan dan menjadi serabut fikirannya saat menghadapi kritikan atau cercaan pedas dari orang-orang sekitarnya. Mereka seolah-olah belum pernah mendengar wahyu Ilahi yang menjelaskan dengan jelas tentang perilaku golongan manusia yang selalu mengingkari Allah. Dalam wahyu itu dikatakan:

...dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya...(Yunus: 12)

Anda tidak perlu terkejut apabila anda menghadiahkan sebatang pena kepada orang bebal, lalu ia memakai pena itu untuk menulis cemuhan kepada anda. Dan anda tidak usah terkejut, bila orang yang anda beri tongkat untuk menggiring kambing gembalaannya justeru memukulkan tongkat itu ke kepala anda. Itu semua adalah watak dasar manusia yang selalu mengingkari dan tidak pernah bersyukur kepada Penciptanya sendiri Yang Maha Agung dan Mulia. Begitulah, kepada Tuhannya pun mereka berani membangkang dan mengingkari, maka apalagi kepada saya dan anda!



Sekian,
wassalam.

No comments: