Tuesday, February 27, 2007

La Tahdzan # 10~ Terimalah Qadha dan Qadar Allah

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah Al-Hadid, ayat 22:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di Bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya...

Tinta pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah disimpan, setiap perkara telah diputuskan dan taqdir telah ditetapkan. Maka...

...tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami... (At-Taubah: 51)

Apa yang membuat anda benar tidak akan membuat anda salah. Sebaliknya, apa yang membuat anda salah tidak akan membuat anda benar.

Jika keyakinan tersebut tertanam kuat pada jiwa anda dan kukuh bersemayam dalam hati anda, maka setiap bencana akan menjadi kurnia, setiap ujian menjadi anugerah, dan setiap peristiwa menjadi penghargaan dan pahala.

Siapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (Al-Hadith)

Kerana itu, jangan anda merasa gundah dan bersedih dikeranakan suatu penyakit, kematian yang semakin dekat, kerugian harta, atau rumah terbakar. Betapapun, sesungguhnya merupakan sesuatu yang telah Allah taqdirkan dan semua yang telah menjadi taqdir Allah pasti terjadi. Kita tidak mempunyai pilihan lain, selain menerima taqdir itu, kerana Allah lah yang berhak menentukan. Dengan adanya cubaan, anda justeru mendapat pahala dan dosa anda pun akan diampuni. Maka, berbahagialah orang-orang yang tertimpa musibah atas kesabaran dan kerelaan mereka terhadap Yang Maha Mengambil, Maha Pemberi, Maha Mengekang lagi Maha Lapang.

Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuatNya dan merekalah yang akan ditanyai. (Al-Anbiya': 23)

Saraf-saraf anda akan tetap tegang, kegundahan jiwa anda tidak akan reda, dan kecemasan di dada anda tidak akan pernah sirna sebelum anda benar-benar beriman terhadap qadha dan qadar. Tinta pena telah mengering bersamaan dengan semua hal yang akan anda temui. Maka, jangan biarkan diri anda larut kesedihan; jangan mengira diri anda sanggup melakukan segala upaya untuk menahan tembok yang akan runtuh, membendung air yang akan meluap, menahan angin agar tidak bertiup, atau memelihara kaca agar tidak pecah. Adalah tidak benar bila semua itu dapat terjadi dengan paksaanku dan paksaanmu, kerana apa yang telah digariskan akan terjadi, setiap ketentuan akan berjalan dan semua keputusan akan terlaksana.

...maka barangsiapa yang ingin (beriman), silakan ia beriman; dan barangsiapa yang ingin (kafir), silakan ia kafir...(Al-Kahfi: 29)

Anda harus menyerahkan semua hal kepada taqdir agar tidak ditindas oleh bala tentera kebencian, penyesalan dan kebinasaan. Dan percayalah dengan kebenaran qadha sebelum anda dilanda banjir penyesalan! Dengan begitu, jiwa anda akan tetap tenang menjalani segala daya upaya dan cara yang memang harus ditempuh. Dan bila kemudian terjadi hal-hal yang tidak anda inginkan, maka itu pun merupakan sebahagian dari ketentuan yang memang harus terjadi. Jangan pula anda berandai:

"Seandainya aku melakukan begini dan begini, nescaya akan begini dan begini."
Akan tetapi, katakanlah: "Semua yang telah ditaqdirkan dan dikehendaki Allah pasti terjadi." (Al-Hadith)

Sekian,
wassalam.

No comments: