Thursday, May 24, 2007

mencari sahabat..

ISLAM merupakan agama yang lengkap dalam semua aspek kehidupan sama ada dari segi ilmu pengetahuan, ekonomi, politik dan juga sosial. Oleh itu, dalam kehidupan sosial, kita telah disediakan beberapa garis panduan yang kalau diikuti boleh mendatangkan kebaikan dan menghindarkan keburukan.

Contoh kehidupan bersosial ialah soal mencari sahabat. Kita dinasihatkan supaya berhati-hati memilih sahabat kerana Islam menegah kita mancari sahabat yg boleh membawa kpd kemungkaran.

Seperti firman Allah SWT dalam surah Kahfi ayat 28 yang bermaksud :

"Janganlah engkau mengikuti orang yg telah Kami lupakan hatinya untuk mengingat-ingat (berzikir) pada Kami dan ia suka mengikuti hawa nafsunya."

Sekiranya kita memilih sahabat yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsunya, sahabat itu akan merugikan kita. Malah, lambat-laun, kita akan mencari sahabat yang soleh yg sentiasa mengingatkan kita ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud : "Seseorang itu menurut agama (aturan) kekasihnya, maka oleh sebab itu baiklah seseorang dari kamu semua itu meneliti orang yang dikasihi."

WASIAT AL-QAMAH

Sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang yg ingin kita jadikan sahabat bolehlah kita contohi daripada wasiat yang diberikan oleh al-Qamah kepada anaknya...Katanya : "Hai anakku, jikalau engkau rasa perlu bersahabat dengan seseorang maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini iaitu :

1. Jikalau engkau melayaninya, ia suka melindungi, jika engkau bersahabat dengannya, ia akan merupakan hiasan dirimu dan jika engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia suka mencukupi keperluanmu.

2. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung-hitungkan.

3. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, dan dianggap sangat berguna, sedangkan jikalau ia mengetahui tentang keburukan dirimu lalu ia suka menutupinya.

4. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, ia mulai menyapamu dahulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yg menimpa dirimu, ia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya sahaja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat, ia suka mengusahakannya dan jikalau engkau berselisih dengannya, ia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu."

Saiyidina Ali KWJ menjelaskan tentang sahabat yang baik. Antara lain, beliau menyatakan..."Sahabat yang sebenar-benarnya ialah orang yang ada di sampingmu. Ia suka membabitkan dirinya sendiri dalam bahaya demi untuk kesejahteraanmu."

Saiyidina Ali KWJ bukan setakat bercakap kosong, malah telah membuktikan kata-katanya dengan mengambil alih tempat tidur Rasulullah SAW sewaktu baginda bersama Saiyidina Abu Bakar merancang untuk berhijrah ke Madinah. Walaupun Saiyidina Ali KWJ tahu risiko yang terlalu tinggi akan dihadapinya kerana pemuda-pemuda Quraisy bercadang untuk menyerbu rumah Rasulullah SAW dan membunuhnya, tetapi Saiyidina Ali KWJ sanggup menghadapi bahaya itu atas dasar kepentingan keselamatan sahabatnya. Atas pengorbanan dan kesetiaan beliau, Allah telah menyelamatkan beliau daripada dibunuh oleh pemuda-pemuda Quraisy itu.

Contoh persahabatan lain yg boleh diteladani ialah persahabatan Saiyidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiakan apa yang Rasulullah SAW katakan.

Sebagai contoh, sewaktu Rasulullah SAW menceritakan perjalanan Isra' dan Mi'raj kepada semua orang di Kota Mekah, mereka tidak mempercayai cerita Rasulullah SAW malah mengejek-ngejek dan menuduh baginda sebagai pembohong. Mereka yang tidak percaya kepada cerita Rasulullah SAW telah pergi berjumpa dengan Saiyidina Abu Bakar untuk menanyakan sama ada cerita tersebut benar atau sebaliknya. Tujuan mereka adalah untuk mentertawakan Saidina Abu Bakar yang menjadi sahabat baik Rasulullah SAW.

Apabila Saiyidina Abu Bakar mendengar mendengar pertanyaan mereka, dengan tenang beliau bertanya semula apakah benar Rasulullah SAW bercerita sedemikian. Mereka mengatakan begitulah cerita Rasulullah SAW lalu tanpa ragu-ragu Saiyidina Abu Bakar menyatakan apa yang Rasulullah SAW katakan itu semuanya benar. Saiyidina Abu Bakar bukan setakat mempercayai apa yang sahabatnya katakan tetapi juga sanggup berkorban harta untuk kepentingan perjuangan agama Islam yang dibawa oleh sahabatnya.

PENGORBANAN SAHABAT NABI.

Di samping itu, pengorbanan yang paling besar yang diberikan oleh Saiyidina Abu Bakar kepada Rasulullah SAW ialah apabila sanggup bersama-sama dengan sahabatnya sewaktu berhijrah ke Madinah. Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah bukanlah satu perjalanan yang selamat kerana orang-orang Quraisy sentiasa memusuhi dan ingin membunuh baginda. Sewaktu dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah, Saiyidina Abu Bakar sentiasa berada di hadapan dan di belakang Rasulullah SAW.

Apabila baginda bertanya akan hal itu, Saidina Abu Bakar menjawab..."Aku berjalan di hadapan untuk memilih jalan yang baik dan selamat sementara aku berjalan di belakangmu untuk menjaga keselamatanmu dari serangan musuh yang mengejarmu."

Kesimpulan, marilah kita perhatikan nasihat Abu Sulaiman tentang pentingnya memilih sahabat seperti yang dianjurkan oleh Islam. Katanya...Janganlah sesekali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada 2 orang ini :

Pertama, orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur.
Kedua, orang yang dijadikan sahabat itu dapat menambahkan kemanfaatan duniamu untuk urusan akhiratmu. Jika engkau bersahabat selain daripada 2 orang ini, pastinya engkau memiliki kebodohan yang luar biasa besarnya.


12 sifat sahabat sejati
1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
{petikan "Bimbingan Mu'minin" Imam Ghazali}


IMAM Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama.

Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya: "Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan."

"Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah."

"Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku."

"Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia."

Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya. Katanya: "Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya."Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

"Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras."Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan."Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat."Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. "Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia."Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan.

Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata: "Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan."Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan."Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai."

Wassalam.

No comments: