Wednesday, March 21, 2007

La Tahdzan # 21~ Anda Lebih Beruntung Daripada Yang Lain

Terumbang-ambing adalah merupakan ciri orang yang ditimpa musibah dan dihempas bencana. Rumahnya selalu dipenuhi suasana kedukaan. Di setiap sudut wajahnya mengalir airmata sebagaimana kesedihan di Lembah Bani Sa'ad.

Sesungguhnya betapa banyaknya penderitaan yang terjadi, dan betapa ramai pula orang-orang yang sanggup bersabar menghadapinya. Maka anda bukanlah satu-satunya orang yang ditimpa bencana. Bahkan, mungkin penderitaan atau bencana yang menimpa anda tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan bencana orang lain. Lihatlah berapa ramai manusia di dunia ini yang terbaring sakit di atas katil selama bertahun-tahun lamanya dan mereka hanya mampu membolak-balikkan badannya sahaja, lalu merintih kesakitan dan menjerit menahan penderitaan.

Berapa ramai orang yang dipenjara selama bertahun-tahun lamanya tanpa dapat melihat cahaya matahari walaupun sekali dan mereka ini hanya mengenal jeriji-jeriji selnya sahaja.

Betapa ramainya manusia di dunia ini yang menderita, mendapat ujian dan cubaan, belum lagi kepada mereka yang setiap saat menahan himpitan hidup!

Kini, sudah tibalah waktunya untuk anda mengunjungi mereka dan mengajarkan ilmu yang meyakinkan diri mereka bahawa hidup ini adalah penjara bagi orang mukmin dan rumah bagi kesedihan dan penderitaan. Di pagi hari, istana-istana kehidupan penuh sesak dengan penghuninya, namun menjelang senja tiba-tiba istana-istana itu menjadi runtuh. Mungkin saat ini kekuatan masih utuh, badan masih sihat, harta melimpah, dan keturunan banyak jumlahnya. Namun dalam hitungan beberapa hari sahaja semuanya boleh berubah; jatuh miskin, kematian datang secara tiba-tiba, perpisahan yang tidak dapat dihindarkan, dan sakit yang menyerang secara tiba-tiba.

Dan, telah nyata bagimu bagaimana Kami berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan. (Ibrahim: 45)

Oleh itu, sebaiknya anda hendaklah mempersiapkan diri sebagaimana persiapan seekor unta berpengalaman yang akan mengiringi anda menyeberangi padang Sahara. Anda juga hendaklah membandingkan penderitaan anda dengan penderitaan orang-orang yang berada di sekeliling anda dan penderitaan orang-orang yang wujud sebelum anda, supaya anda sedar bahawa keadaan andalah yang lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan mereka! Bahkan, anda akan merasakan bahawa penderitaan anda itu hanyalah sebahagian daripada duri-duri kecil yang tidak ada ertinya. Maka panjatkan segala kepujian kepada Allah di atas semua kebaikanNya itu, bersyukurlah kepadaNya di atas apa yang telah diberikan kepada anda, bersabarlah di atas semua yang diambilNya dan muhasabahlah terhadap diri sendiri di atas segala kelemahan, dosa dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan dan ziarahilah orang-orang yang menderita di sekitar anda.

Anda boleh mengambil banyak di antara suri teladan Rasulullah s.a.w. sepanjang hidupnya, yang ditimpa dengan berbagai ujian dan dugaan sebagai bimbingan buat anda. Baginda pernah dilempar kotoran unta oleh orang-orang kafir Mekah, kedua kakinya dicederai dan wajahnya mereka lukai, dikepung dalam suatu kaum beberapa lama hingga beliau hanya dapat makan dedaunan apa adanya sahaja, diusir dari Mekah, dipukul gerahamnya hingga retak, kemuliaan isterinya difitnah, 70 di kalangan sahabatnya terbunuh, dan kehilangan beberapa orang anaknya. Bahkan, baginda pernah menahan laparnya dengan mengikatkan batu di perutnya. Beliau pernah dituduh sebagai seorang penyair (bukan penyampai wahyu Allah), dukun, orang gila dan pembohong. Namun, Allah melindunginya dari semua itu. Dan semua perkara tadi adalah merupakan cubaan dan dugaan yang harus beliau hadapi dalam perjuangannya dan penyucian jiwa yang tiada tara dan bandingannya.

Sebelum itu, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya a.s dibunuh, Nabi Musa a.s diusir dan dikejar oleh Fir'aun, dan Nabi Ibrahim a.s dibakar hidup-hidup. Cubaan-cubaan itu turut menimpa para khalifah dan para pemimpin kita; Umar Radhiyallahu 'anhu dilumuri dengan darahnya sendiri, Uthman Radhiyallahu 'anhu dibunuh secara diam-diam, dan Ali Radhiyallahu 'anhu ditikam dari belakang. Dan masih banyak lagi di antara para pemimpin kita yang turut menerima dugaan yang sama di mana punggung para Imam penuh dengan bekas sebatan, orang-orang terpilih dimasukkan ke dalam penjara, dan juga dibuang ke negeri lain.

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan). (Al-Baqarah: 214)


Wassalam.

No comments: