Thursday, March 1, 2007

La Tahdzan # 11~ Sesungguhnya Setelah Kesulitan Ada Kemudahan

Wahai manusia; setelah lapar ada kenyang, setelah haus ada kepuasan, setelah berjaga malam ada tidur nyenyak, dan setelah sakit ada kesembuhan. Setiap yang hilang pasti ketemu, dalam kesesatan akan datang petunjuk, dalam kesulitan ada kemudahan, dan setiap kegelapan akan terang-benderang.

...mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya...(Al-Ma'idah: 52)

Sampaikan khabar gembira kepada malam hari bahawa, sang fajar pasti datang mengusirnya dari puncak-puncak gunung dan dasar-dasar lembah; kepada orang yang dilanda kesusahan bahawa, pertolongan akan datang secepat kilatan cahaya dan kedipan mata; kepada orang yang ditindas bahawa kelembutan dan dekapan hangat akan segera tiba.

Saat anda melihat hamparan padang Sahara yang seolah memanjang tanpa batas, ketahuilah bahawa di sebalik kejauhan itu terdapat kebun yang rimbun penuh hijau dedaunan. Ketika anda melihat seutas tali meregang kencang, ketahuilah bahawa, tali itu akan segera putus.

...kesejukan dan keselamatan...(Al-Anbiya': 69)

Lautan luas tidak kuasa meneggelamkan Kalimur-Rahman (Musa 'Alaihissalam). Itu, tidak lain kerana suara kebenaran yang kuat berkata:

Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Rabbku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku. (As-Syu'ara': 62)

Ketika bersembunyi dari kejaran kaum kafir dalam sebuah gua, Nabi Muhammad S.A.W. yang ma'sum mengkhabarkan kepada Abu Bakar r.a., bahawa Allah Yang Maha Tunggal dan Maha Tinggi ada bersama mereka. Sehingga, rasa aman, tenteram dan tenang pun datang menyelimuti Abu Bakar r.a

Mereka yang terpaku pada waktu mereka yang terbatas dan pada keadaan mereka yang (mungkin) sangat kelam, umumnya hanya akan merasakan kesusahan, kesengsaraan dan keputus-asaan dalam hidup mereka. Itu, kerana mereka hanya menatap dinding-dinding bilik dan pintu-pintu rumah mereka saja. Padahal, mereka seharusnya menembuskan pandangan sampai ke belakang tabir dan berfikir lebih jauh tentang hal-hal yang berada di luar pagar rumahnya.

Maka dari itu, janganlah anda merasa terhimpit sejengkal pun, kerana setiap keadaan pasti berubah. Dan sebaik-baik ibadah adalah menanti kemudahan dengan sabar. Betapapun, hari demi hari akan terus berganti, tahun demi tahun akan selalu berganti, malam demi malam pun datang silih berganti. Meski demikian, yang ghaib akan tetap tersembunyi, dan Sang Maha Bijaksana tetap pada keadaan dan segala sifat-Nya. Dan Allah mungkin akan menciptakan sesuatu yang baru setelah itu semua, tetapi sesungguhnya setelah kesulitan itu tetap akan muncul kemudahan.

p/s: pencil case saye dh 2 hari hilang tak jumpa2, x dapat dikenalpasti misplace kt mane..huhu. tak lengkap p kelas xde pencil case, jd tlg doakan ye..time kasih=)


Sekian,
wassalam.

No comments: