Friday, April 6, 2007

La Tahdzan # 29~Ingatkan Diri Anda Dengan Syurga

Jika anda menderita kelaparan, kekurangan, kesedihan, menderita penyakit yang tidak kunjung sembuh, selalu mengalami kerugian, dizalimi, maka ingatkanlah diri anda pada kenikmatan syurga yang kekal abadi. Sekiranya anda benar-benar meyakini "jalan" ini dan mengamalkannya, nescaya anda mampu mengubah setiap kerugian menjadi keuntungan dan setiap bencana menjadi nikmat.

Manusia yang paling beraqal adalah mereka yang sentiasa melakukan sesuatu berorientasikan akhirat dengan meyakini bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan kekal abadi. Sebaliknya, manusia yang paling bodoh di dunia adalah mereka yang memandang dunia ini sebagai tempat mereka, rumah mereka dan tujuan akhir dari semua harapan mereka.

Manusia yang berfikiran sedemikian, adalah orang yang paling sedih ketika menghadapi sesuatu musibah dan orang yang paling menyesal ketika ditimpa sesuatu bencana. Itu semua, hanyalah kerana mereka memandang kepada kehidupan dunia yang fana dan hina ini. Mereka tidak pernah memikirkan hal yang lain, selain kepentingan dunia, tidak melakukan sesuatu kecuali hanya untuk dunia. Bahkan, mereka seolah-olah tidak rela sedikit pun keceriaan dan kegembiraan mereka di dunia ini dikotori dan diusik.

Sebaliknya, sekiranya mereka membuka tabir kesedihan yang menutupi hati mereka dan membuka kebodohan yang menutupi mata mereka itu, nescaya mereka akan berbicara kepada diri mereka sendiri tentang masih adanya tempat tinggal yang kekal abadi (akhirat), pelbagai kenikmatan yang akan diperolehi di dalamnya, dan juga tentang istana-istananya yang indah. Mereka juga akan sentiasa terdiam mendengarkan penjelasan-penjelasan wahyu Ilahi tentang gambaran keindahan akhirat. Dan sesungguhnya - demi Allah - akhirat itulah yang sebenar-benarnya tempat kembali (rumah) yang layak untuk diberikan perhatian dan memerlukan usaha yang keras untuk meraihnya.

Pernahkah kita merenungkan secara mendalam tentang keadaan para penghuni syurga yang tidak pernah sakit, tidak bersedih hati, tidak mati, sentiasa muda dan pakaian mereka tidak akan lusuh sedikit pun? Pernahkah kita benar-benar menghayati wahyu Ilahi yang menyatakn bahawasanya para penghuni syurga itu akan menempati istana-istana yang bahagian luarnya terlihat dari dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari luar? Pernahkah kita mengingatkan diri kita dengan kebenaran berita Ilahi yang mengatakan bahawa di syurga terdapat semua hal yang tidak pernah dilihat oleh mata, terdengar oleh telinga, dan terdetik di dalam hati manusia? Cubalah anda renungkan khabar Ilahi yang menyatakan bahawa sebatang pohon di syurga tidak akan selesai dikelilingi oleh seorang pengendara kenderaan selama 100 tahun lebih! Panjang akar pohonnya mencapai 60 batu; sungai-sungainya mengalir dengan sangat teratur, istana-istananya berdiri indah dan megah, buah-buahannya bergayut rendah sehingga mudah dipetik, mata airnya terus mengalir, takhta-takhtanya demikian tinggi, gelas-gelasnya tersusun rapi, bantal-bantal sandarannya teratur rapi, dan permaidani-permaidaninya terhampar luas! Di syurga dapat dirasakan kesenangan yang sempurna, kegembiraan yang agung, dan semerbak harum baunya, luhur sifatnya dan merupakan tempat mewujudkan harapan. Lalu di manakah aqal kita sampai tidak memikirkannya? Mengapa kita tidak merenungkannya?

Apabila fikiran tercurah pada kebahagiaan akhirat, tentu segala musibah akan terasa ringan dipikul, air mata yang menitis dari orang yang ditimpa bencana dengan sendirinya kering membeku dan hati akan selalu berbahagia.

Wahai orang-orang yang sedang dilanda kemiskinan, yang diliputi kesusahan, dan yang diuij dengan berbagai macam kesulitan, teruslah beramal dengan amalan yang soleh! Semoga kalian ditempatkan di dalam syurga yang telah Allah siapkan untuk kalian, agar kalian dapat berdekatan dengan-Nya, Dzat Yang Maha Suci.

(Sambil mengucapkan) Salamun 'alaikum bima shabartum (Keselamatan atasmu berkat kesabaranmu). Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu. ( Ar-Ra'd:24 )

p/s: bestnye syurga..semoga terpilih untuk menjadi antara penghuninya..ameen.=)


Sekian,
wassalam.

No comments: