Wednesday, April 4, 2007

La Tahdzan # 28~Redha Akan Anugerah Allah, Menjadikan Anda Orang Terkaya Di Dunia

Pembahasan ini sebenarnya telah saya jelaskan sebelum ini, namun kali ini saya akan membahaskannya secara lebih panjang lebar untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik. Ringkasnya, makna daripada sikap ini adalah bahawa anda harus rela hati dan bersyukur dengan setiap pemberian Allah, baik yang berupa bentuk tubuh, harta, anak, tempat tinggal ataupun bakat kemampuan. Dan makna inilah yang tersirat dari ayat al-Quran seperti berikut:

...sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. (Al-A'raf: 144)

Sebahagian besar ulama salafus-soleh dan generasi awal umat ini adalah terdiri daripada orang-orang fakir miskin. Mereka tidak memiliki harta yang banyak, rumah yang indah, kenderaan yang baik dan juga pengawal peribadi. Namun demikian, mereka ternyata mampu membuat kehidupan ini justeru lebih bermakna dan membuat diri mereka dan masyarakatnya lebih bahagia. Yang demikian itu, adalah kerana mereka sentiasa memanfaatkan setiap pemberian Allah di jalan yang benar. Dan kerana itu pula, umur, waktu, dan kemampuan atau ketrampilan mereka menjadi penuh berkah.

Sebaliknya terdapat sekelompok manusia yang telah dikurniai Allah dengan berbagai jenis kenikmatan berupa harta yang melimpah, anak yang ramai, dan nikmat yang lainnya, tetapi semua itu justeru menyebabkan diri mereka sentiasa merasa penuh dengan penderitaan, kecemasan dan kegelisahan. Ini adalah kerana mereka telah menyimpang dari fitrah yang suci dan tuntunan hidup yang benar. Ini menjadi bukti nyata bahawa segala material (kekayaan, anak, pangkat, jawatan, kehormatan dan sebagainya) bukanlah merupakan satu-satunya alat yang dapat menyelesaikan segala persoalan.

Lihatlah, betapa ramai sarjana atau doktor yang tidak dapat memberikan pendapat, pemikiran dan pengaruh yang cukup bagi masyarakatnya. Namun sebaliknya; terdapat manusia yang dengan ilmu dan kemampuannya yang sangat terbatas, justeru mampu membina sungai yang sentiasa mengalirkan manfaat, kebaikan, dan kemakmuran bagi sesama manusia.

Sekiranya anda inginkan kebahagiaan, maka terimalah dengan rela hati bentuk tubuh yang telah Allah kurniakan untuk anda, redhalah dengan keluarga yang anda miliki, suara anda, kemampuan daya ingatan dan pemahaman anda, dan seberapa pun penghasilan yang anda terima! Bahkan, orang yang memelihara sifat zuhud akan bersifat lebih daripada itu. Mereka akan berkata kepada anda: "Sayugianya anda berlapang dada terhadap apa yang anda miliki, meskipun ianya sesedikit dan janganlah anda merasai kekurangan."

Berikut ini adalah beberapa tokoh terkenal yang kehidupan duniawi mereka kurang beruntung:

1. 'Atha' bin Rabah: Seorang ilmuan yang terkenal pada zamannya. Beliau adalah seorang bekas hamba sahaya yang berkulit hitam, berhidung pesek, lumpuh tangannya dan berambut keriting.

2. Ahnaf bin Qais: Seorang tokoh bangsa Arab yang dikenal paling sabar dan penyantun. Beliau sangat kurus tubuhnya, bongkok punggungnya, kakinya pincang dan lemah tubuhnya.

3. Al-A'masy: Seorang tokoh pembaharu dunia. Beliua mempunyai mata yang rabun dan seorang bekas hamba sahaya yang fakir, baju yang dipakainya compang-camping, dan keadaan rumahnya buruk.

Bahkan kenyataan para Nabi dan Rasul Allah pernah menjadi pengembala kambing. Walaupun mereka termasuk manusia-manusia pilihan Allah dan sebaik-baik manusia, namun pekerjaan mereka tidak jauh berbeza daripada manusia yang lain pada umumnya seperti Nabi Daud a.s. adalah seorang tukang besi, Nabi Zakaria a.s. seorang tukang kayu, dan Nabi Idris a.s. seorang tukang jahit.

Ini menunjukkan bahawa harga diri anda ditentukan oleh kemampuan, amal soleh, kemanfaatan, dan akhlaq yang anda miliki. Oleh kerana itu, janganlah anda bersedih memiliki wajah yang kurang cantik, kekurangan harta, anak yang sedikit, dan rumah yang tidak indah! Terimalah setiap pemberian Allah dengan penuh kerelaan hati!

...Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia... (Az-Zukhruf: 32)

p/s: look around u..and u will be the happiest person on Earth...inshaAllah =)


Sekian,
wassalam.


No comments: